Sunday, October 22, 2006

Sedihnya Baca Berita Ini

Diambil dari koran Berita Harian Malaysia
Bikin gw menitikkan air mata dan sesak dada rasanya.....
------------------------------------------------------------------------------------------

‘Ibu, pulanglah pada raya ini, kami rindu’

Oleh: YUSRI SAHAT


MENGHARAP BELAIAN IBU... Noorashidah Ishak (kiri) dan adiknya, Noorashikin menanti kedatangan ibu kandung menjenguk mereka yang kini dipelihara oleh keluarga angkat di Kampung Belakang Balai Polis, Changlun, Kedah, semalam.
JITRA 21 Okt. – “Ibu, pulanglah pada Hari Raya ini, kami rindu,” demikian luahan dua beradik yang ditinggalkan ibunya sejak setahun lalu di Kampung Belakang Balai Polis, Changlun dekat sini.

Meskipun kedua-dua beradik itu, Noorashidah Ishak, 4, dan Noorashikin, 2, selesa tinggal bersama keluarga angkatnya di kampung itu tetapi jauh di sudut hati masih mengharapkan kehadiran ibu mereka, Suhaila Hassan, 31, pada hari lebaran nanti.

Bagi kedua-dua beradik itu, kemeriahan Hari Raya akan lebih bermakna jika ibu kandung datang menjenguk mereka.

Menurut ibu angkat mereka, Siti Aminah Abdullah, 30, dia turut mengharap Suhaila dapat berkunjung ke rumahnya untuk menjenguk kedua-dua anak perempuannya yang ditinggalkan sejak setahun lalu pada Hari Raya ini.

Katanya, Hari Raya Aidilfitri adalah masa paling sesuai bagi Suhaila untuk bertemu dengan anak-anaknya itu.

‘‘Jika pada hari biasa mungkin dia malu untuk menunjukkan mukanya kepada kami atau masyarakat tetapi ia mungkin boleh diketepikan pada Hari Raya,’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di kampung itu hari ini.

Kisah Noorashidah dan Noorashikin pernah dipaparkan Utusan Malaysia pada 10 Mac lalu selepas mereka ditinggalkan oleh Suhaila di rumah keluarga Siti Aminah dan suaminya, Azhar Osman, 38, sejak akhir tahun lalu untuk mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, selepas itu Suhaila tidak pernah pulang menjenguk anak-anaknya.

Kedua-dua beradik itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan, hanya beberapa helai pakaian, lampin pakai buang dan wang RM50 untuk membeli susu.

Paling menyayat hati, mereka kehilangan bapa, Ishak Yusof yang meninggal dunia akibat barah tulang tahun lalu, menyebabkan Suhaila terpaksa mencari kerja untuk menanggung anak-anaknya.

Bagaimanapun, Suhaila menghilangkan diri tanpa sebarang berita ketika keluar mencari pekerjaan.

Berikutan itu Mahkamah Majistret Jitra memutuskan hak penjagaan kedua-dua beradik itu diserahkan kepada Siti Aminah dan Azhar berkuat kuasa 8 Jun lalu.

Siti Aminah seterusnya memberitahu, sepanjang bulan puasa ini, Suhaila atau saudara mara kepada dua beradik itu tidak pernah menghubunginya untuk mengambil tahu perkembangan mereka.

“Jangankan kata hendak memberikan sedikit wang untuk persiapan Noorashidah dan Noorashikin, bertanya khabar menerusi telefon pun mereka tidak pernah dalam bulan puasa ini,” katanya.

Namun bagi Siti Aminah, rumahnya sentiasa terbuka kepada Suhaila untuk bertemu dengan anak-anaknya.

“Kalau dia (Suhaila) hendak datang berjumpa anak-anaknya, dia boleh datang pada Hari Raya kelima atau keenam kerana kami semua akan beraya di Pendang dan Jeniang pada Hari Raya pertama hingga keempat,” jelasnya.

Sementara itu, Azhar berkata, dia masih belum menerima wang saraan sebanyak RM500 untuk dua beradik itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dua bulan lalu.

“Wang itu sepatutnya diserahkan kepada Noorashidah dan Noorashikin selepas Mahkamah Majistret memutuskan hak jagaan kepada kami,” katanya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

"Ya Allah, bukakan pintu hati ibu dari mereka, terlalu kecil mereka untuk menanggung keadaan hidup seperti itu"..

No comments: